KOTA BHARU, 20 November 2025 – Penekanan terhadap prestasi kerja berkualiti dan pembinaan budaya kerja cemerlang dalam kalangan penjawat awam terus diperkukuh melalui pembangunan modul bimbingan kaunseling – Modul Smart Itqan berasaskan prinsip βUbudiyah, Masβuliyah dan Itqan (UMI). Modul berteraskan nilai U.M.I. yang menjadi amalan perkhidmatan awam Negeri Kelantan ini dirangka bagi meningkatkan kompetensi, sahsiah kerja dan keberkesanan tugasan khususnya dalam kalangan pekerja berprestasi rendah.

Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Dr. Azizi Umar, berkata penekanan modul tersebut bukan sahaja tertumpu pada tiga prinsip teras itu, malah lebih jauh bertujuan membumikan prinsip UMI secara praktikal melalui peranan pembimbing modul dalam membantu pekerja berprestasi rendah meningkatkan kompetensi, komitmen dan budaya kerja cemerlang.
βModul Smart Itqan ini dibangunkan untuk memandu pembimbing modul mendampingi pekerja secara lebih berkesan, dengan pendekatan kasih sayang berasaskan Model Imam al-Ghazali. Pendekatan ini menekankan keseimbangan antara teguran, motivasi, pembangunan rohani dan penyucian hati, supaya pekerja bukan sahaja berubah dari aspek kemahiran, tetapi turut berkembang dari segi akhlak dan integriti kerja,β katanya.
Model kaunseling berasaskan al-Ghazali memberi tumpuan kepada pembinaan jiwa (tazkiyah al-nafs), penetapan niat yang betul, pembersihan sifat negatif serta bimbingan kaunseling yang menyentuh kelembutan hati. Pendekatan holistik ini menyokong hubungan pembimbing dan pekerja melalui empati, hikmah dan dorongan berperingkat bagi membawa perubahan tingkah laku yang berkekalan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kursus Pemantapan Pembimbing Modul Smart ItqanΒ yang berlangsung di Dewan Seminar 3, Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Kursus berkenaan dikendalikan oleh pasukan penyelidik dan pembangun modul dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Md Noor Saper, Dr. Wan Nurul Izza Wan Hussin dan En. Mohamad Saifuddin Ab Satar.

Seramai 30 jurulatih Smart Itqan dari pelbagai agensi termasuk Ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), wakil Urus Setia Kerajaan Negeri, wakil Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menyertai kursus sehari anjuran ILDAN dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dengan kerjasama UPSI.
Kursus siri kedua ini dilaksanakan bagi menilai kebolehgunaan dan keberkesanan Modul Smart Itqan sebelum modul tersebut dilancarkan secara rasmi kelak.

