MUKIM RINTIS AUR GADING SUBURKAN BUDAYA KOMUNITI RABBANI (K-RABB)

KUALA KRAI, 6 April 2026 – Majlis Perasmian Penutup Program Mukim Rintis Komuniti Rabbani (K-RABB) bagi Mukim Aur Gading, Kampung Manjor telah berlangsung dengan penuh meriah dari jam 7.00 hingga 10.00 malam bertempat di Masjid Mukim Aur Gading. Program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membudayakan Komuniti Rabbani yang menekankan penghayatan nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat, seterusnya membina kekuatan komuniti secara bersama berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Menurut Penolong Pengarah Kanan ILDAN, Ustaz Hishammudin Mustapha (Seksyen Perguruan dan Kepimpinan Komuniti), Mukim Aur Gading merupakan mukim kedua selepas Mukim Takang yang dipilih sebagai mukim rintis bagi pelaksanaan K-RABB. Beliau memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi menghidupkan komuniti, antaranya program pengimarahan masjid melalui kuliah dan ceramah perdana, pertandingan rumah cantik serta penganjuran sukan rakyat yang berjaya menyatukan seluruh warga Mukim Aur Gading dalam satu suasana harmoni dan penuh ukhuwwah.
Beliau turut mengharapkan agar setiap ahli komuniti memainkan peranan penting dalam menghidupkan budaya yang diredhai dan diberkati Allah SWT, di samping menjauhi amalan mungkar yang sering kali dianggap biasa dalam masyarakat.
Turut hadir ialah wakil pihak PKD Manek Urai yang mewakili YB Mohd Fauzi bin Abdullah yang tidak dapat hadir atas komitmen menghadiri program di bawah Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Kelantan sempena sidang Dewan Negeri yang akan datang.
Majlis turut diserikan dengan jamuan Aidilfitri serta pemberian duit raya, sekali gus menambahkan kemeriahan suasana. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada anak mukim, dan pihak ILDAN merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak pengurusan masjid & sekretariat K-RABB
Mukim Aur Gading atas kejayaan menganjurkan program yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Pihak ILDAN berharap agar setiap mukim rintis akan terus berperanan dalam menghidupkan suasana harmoni dan Islamik merentasi semua peringkat umur melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi, seterusnya menjadikan mukim tersebut sebagai contoh dan model terbaik kepada mukim-mukim lain di seluruh negeri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top