KOTA BHARU, 16 April – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) telah melaksanakan siri Jelajah Budaya Komuniti Rabbani (K-RABB) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi memperkasa pembangunan modal insan di negeri ini, berpandukan Modul Asas K-RABB yang telah diterbitkan (ISBN/eISBN). Inisiatif ini secara tidak langsung memberi impak positif kepada agensi Kerajaan Negeri, memperkukuh sistem pentadbiran awam, serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Penolong Pengarah Kanan (Seksyen Perguruan dan Kepimpinan Komuniti) ILDAN, Ustaz Hishammudin Mustapha menegaskan bahawa penjawat awam serta warga pendidik menggalas amanah yang besar sebagai agen perubahan dan pendakwah (daie) dalam masyarakat. Beliau menjelaskan, peranan golongan ini adalah kritikal bagi memastikan masyarakat sentiasa melaksana tuntutan agama serta peka dalam mencegah kemungkaran yang berlaku di sekeliling mereka berpandukan sembilan Budaya K-RABB yang dibangunkan.


Tambah beliau, pelaksanaan siri penerangan bermula November 2025 sehingga April 2026 ini memfokuskan institusi yang rapat dengan masyarakat, iaitu kerajaan tempatan dan institusi pendidikan. Melalui pendekatan ini, fungsi Majlis Daerah sebagai perantara komuniti disepadukan dengan peranan guru di sekolah yang bertindak membentuk asas nilai pelajar.


𝗦𝗲𝗻𝗮𝗿𝗮𝗶 𝗣𝗕𝗧 𝗱𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗸𝗼𝗹𝗮𝗵 𝗿𝗶𝗻𝘁𝗶𝘀 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗲𝗿𝗹𝗶𝗯𝗮𝘁 𝗮𝗱𝗮𝗹𝗮𝗵 𝘀𝗲𝗽𝗲𝗿𝘁𝗶 𝗯𝗲𝗿𝗶𝗸𝘂𝘁:
– Majlis Daerah Tanah Merah (6 November 2025)
– Majlis Daerah Tumpat (2 Disember 2025)
– Majlis Daerah Pasir Mas (24 Disember 2025)
– Majlis Daerah Kuala Krai (13 Januari 2026)
– Majlis Daerah Ketereh – Perbandaran Islam (20 Januari 2026)
– Majlis Daerah Dabong (28 Januari 2026)
– Majlis Daerah Jeli (4 Februari 2026)
– Maahad Syamsul Maarif (Perempuan) (1 April 2026)
– SMU (A) Tarbiah Islamiah Chabang Empat, Tumpat (13 April 2026)


“Sehingga kini, masih terdapat beberapa Majlis Daerah dan sekolah rintis yang belum melaksanakan program ini, dan dalam proses penetapan tarikh yang bersesuaian. Jadual tersebut akan ditentukan oleh pihak pentadbiran agensi masing-masing bagi memastikan penglibatan secara menyeluruh dalam kalangan kakitangan serta warga pendidik, tanpa menjejaskan kelancaran komitmen dan tugasan hakiki mereka,” ujar beliau.


Memperkukuh inisiatif ini, ceramah dan aktiviti Budaya Komuniti Rabbani turut dijayakan di 135 lokaliti Program Bina Ummah yang bertemakan Sukan Rakyat. Pencapaian ini direalisasikan menerusi kolaborasi strategik bersama Unit Pembangunan Insan (UPI) Kerajaan Negeri Kelantan.


Pelaksanaan Mukim Rintis juga menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam menyokong dan memperkasa pembangunan komuniti. Sehingga kini, Mukim Takang dan Mukim Aur Gading, Manjor telah dipilih sebagai Mukim Rintis K-RABB.


Di samping itu, bilangan Jurulatih Utama (JU) K-RABB kini telah mencecah 65 orang. Komitmen berterusan barisan jurulatih ini amat berkesan bagi memastikan pergerakan kempen dan siri penerangan dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan berterusan mengikut kawasan zon, mukim, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap tahun.


Sehubungan itu, ILDAN amat mengalu-alukan kerjasama merentas agensi daripada mana-mana pihak untuk turut serta mempromosikan inisiatif K-RABB di organisasi dan lokaliti masing-masing. ILDAN sentiasa bersedia membekalkan bahan promosi dan rujukan bagi memastikan setiap rakyat Kelantan menerima manfaatnya. Jaringan kerjasama pelbagai pihak ini diharap menjadi pemangkin kepada transformasi sosial dan ekonomi Kelantan, ke arah merealisasikan visi negeri maju, sejahtera, dan berintegriti berteraskan nilai-nilai murni Islam.


