shape_3.png

Perutusan Pengerusi

YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli bin Dato’ Haji Hassan

Timbalan Menteri Besar Kelantan /Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Latihan Darul Naim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) terus melangkah ke hadapan sebagai institusi peneraju latihan dan pembangunan kompetensi di Negeri Kelantan. Saya amat berbangga melihat pertumbuhan dan pencapaian ILDAN yang konsisten dalam melahirkan modal insan berintegriti, berilmu dan berketerampilan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri.

ILDAN bukan sekadar sebuah institusi latihan, bahkan menjadi medan strategik dalam menjayakan dasar dan agenda pembangunan negeri yang berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI). Inisiatif latihan yang ditawarkan bukan sahaja memperkukuh keupayaan teknikal dan pentadbiran penjawat awam, tetapi juga memperteguh kefahaman terhadap nilai-nilai Rabbani yang menjadi teras dalam setiap gerak kerja pentadbiran negeri.

Kejayaan ILDAN dalam menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi, membina jaringan kerjasama strategik serta memperkenalkan modul-modul inovatif adalah hasil komitmen seluruh warga ILDAN yang gigih dan profesional. Saya percaya, dengan semangat berpasukan serta sokongan berterusan dari Kerajaan Negeri, ILDAN mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi sebagai pusat kecemerlangan latihan dan rujukan pembangunan sumber manusia Islamik di peringkat serantau.

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh tenaga kerja ILDAN, para rakan strategik serta semua pihak yang sentiasa menyokong usaha murni ini. Semoga ILDAN terus maju, diberkati dan menjadi pencetus transformasi ke arah Kelantan yang sejahtera dan diberkati.

Sekian, terima kasih.

“PENGHAYATAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

"ISLAM MEMBIMBING, RAJA MEMIMPIN, NEGERI DIBERKATI"

"SEMOGA ALLAH MELINDUNGI TUANKU DUNIA DAN AKHIRAT"

Scroll to Top