KOTA BHARU, 9 April 2026 – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) terus mengukuhkan kredibilitinya sebagai Institut Latihan Awam Negeri melalui kejayaan membangunkan 15 modul kursus dan latihan sejak penaiktarafannya (2020) dari Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK). Inisiatif strategik ini merupakan nilai tambah yang signifikan dalam usaha memperkasa penjawat awam yang bukan sahaja profesional, malah memenuhi kriteria insan Rabbani yang syumul.
Timbalan Pengarah (Akademik & Pendidikan) ILDAN, Haji Soleh Ibrahim memaklumkan bahawa pembangunan modul berkenaan telah dilaksanakan dengan jayanya menerusi kolaborasi strategik bersama panel pakar daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Kerjasama ini telah memberikan impak besar terhadap peningkatan kompetensi penjawat awam, khususnya dalam menguasai ilmu generik dan fungsional. Bidang-bidang utama yang diberi penekanan merangkumi aspek kepimpinan, integriti, pendidikan, dakwah, komunikasi, penyelidikan dan kecekapan penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat.
𝗔𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮 𝗺𝗼𝗱𝘂𝗹 𝘂𝘁𝗮𝗺𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗲𝗹𝗮𝗵 𝗯𝗲𝗿𝗷𝗮𝘆𝗮 𝗱𝗶𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗸𝗮𝗻 𝗮𝗱𝗮𝗹𝗮𝗵:
– Smart UMI (Ubudiyyah, Mas’uliyyah & Itqan) – LD 1501
– Pendidikan Rabbani (4 Modul) – LD 1801
– Budaya Komuniti Rabbani (K-RABB) – LD 2101
– Asas Pedagogi Rabbani – LD 2201
– Asas Pentadbiran Sekolah – LD 2202
– Kepimpinan Pengetua (Versi UKM) – LD 2203
– Smart ITQAN – LD 2301
– Sisipan Pengajaran Sains Rabbani – LD 2302
– Imej dan Profesional Pendakwah – LD 2401
– Kepimpinan Guru Dakwah – LD 2402
– Komunikasi Organisasi Berimpak – LD 2403
– Kepimpinan Ihtirafi – LD 2501
– Pengajaran Bahasa Arab Pendekatan i-Baraka – LD 2502
– Integriti Perspektif UMI – LD 2503
– Emosi Positif, Pekerja Produktif – LD 2601
Menurut Haji Soleh Ibrahim, pelaksanaan kursus-kursus berpandukan modul tersebut ditetapkan dalam tempoh satu hingga tiga hari. Penyelarasan tempoh ini adalah berdasarkan kepada keperluan spesifik kandungan modul serta tuntutan semasa daripada agensi-agensi yang memohon bagi memastikan keberkesanan latihan dicapai secara optimum.
Tambah beliau lagi, setiap modul tersebut dibangunkan dengan mengaplikasikan Model Pembangunan Modul dan Kejurulatihan (W-PASKi) bagi menjamin kualiti perundingan latihan. W-PASKi merupakan satu panduan berstruktur yang memastikan pembangunan modul memenuhi kriteria utama yang bersumberkan wahyu, warisan ulama, dan nilai watan, selain mengintegrasikan pengetahuan serta pengalaman yang dikongsi. Model ini menterjemah amalan terbaik ke dalam aplikasi semasa yang realistik, di mana proses perundingan mestilah mampu membawa perubahan sikap dan sahsiah peserta melalui pendekatan insani yang mendalam.
Langkah proaktif ILDAN ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam. Melalui penyediaan modul yang berkualiti, ILDAN komited untuk terus memugar nilai teras kod etika penjawat awam negeri iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) demi memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan awam yang berintegriti dan berwibawa.
