ILDAN TERAPKAN BUDAYA 7K PERKUKUH ORGANISASI

KOTA BHARU, 7 Disember 2025 – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) terus mengorak langkah secara berstrategik selaras dengan matlamatnya sebagai institut latihan awam negeri yang memfokuskan pembangunan insan di bawah portfolio Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli. Sepanjang hampir empat tahun penubuhannya, ILDAN giat melaksanakan pelbagai inisiatif peningkatan kompetensi penjawat awam negeri dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan modal insan secara menyeluruh dan berimpak.

Menurut Pengarah ILDAN, Dr. Azizi Umar, sesi retreat kali ini turut menjadi platform penting dalam merangka perancangan strategik, khususnya penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi program/kursus yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.

Beliau juga menegaskan komitmen ILDAN untuk memastikan seluruh warga kerja mengamalkan 7 budaya kerja yang seiring dengan prinsip serta nilai teras penjawat awam negeri iaitu U.M.I. (Ubudiyah, Mas‘uliyah, Itqan) sebagai asas pembentukan organisasi yang teguh, cekap dan berintegriti.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengamalan budaya kerja yang konsisten merupakan faktor utama dalam memastikan keberkesanan tadbir urus, ketepatan penyampaian latihan serta keseragaman mutu kerja di setiap peringkat organisasi. Budaya kerja yang kukuh membantu membentuk disiplin dan profesionalisme, sekali gus melahirkan warga kerja yang berdaya saing, responsif dan berakhlak, selaras dengan orientasi pembangunan insan yang digariskan oleh kerajaan negeri.

Budaya kerja 7K yang diterapkan ialah Kebolehlaksanaan, Kesegeraan, Ketelitian, Keserakanan, Keberdikarian, Keberkesanan dan Kesinambungan. Penginstitusian budaya ini diyakini mampu mempertingkat kualiti operasi ILDAN secara menyeluruh, seterusnya memperkukuh kedudukan institut ini sebagai pusat latihan negeri yang progresif dan berwibawa.

Beliau berkata demikian ketika sesi Retreat ILDAN yang diadakan di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu, pada hari ini.

Sehingga Julai 2025, ILDAN telah menganjurkan lebih 730 kursus/program, melibatkan lebih 28,301 penyertaan peserta, gambaran jelas terhadap komitmen institut ini dalam melaksanakan amanah pembangunan modal insan negeri.

ILDAN berharap agar dasar-dasar Kerajaan Negeri Kelantan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan berimpak melalui pemerkasaan aspek kepimpinan, integriti, pendidikan, dakwah, komunikasi dan penyelidikan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top