KOTA BHARU, 15 Januari 2026 – Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan membina jaringan kepakaran akademik dan profesional anak negeri, Kerajaan Negeri melalui ILDAN telah menubuhkan Kelantan Virtual Unity (KVU). Platform strategik ini menghimpunkan kepakaran anak Kelantan untuk menyokong pembangunan negeri secara terancang dan berkesan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Haji Hassan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang memaklumkan bahawa penubuhan KVU bertujuan menghimpunkan kepakaran ahli akademik, teknokrat dan pemain industri dalam kalangan anak watan Kelantan sama ada yang menetap di dalam negeri mahupun di luar negeri untuk bersama-sama menyumbang kepakaran dan idea secara strategik serta praktikal berasaskan nilai dan dasar kerajaan negeri, agar kepakaran mereka dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri telah sekian lama memanfaatkan kepakaran akademik daripada institusi pengajian tinggi tempatan sehingga berjaya menerbitkan beberapa dokumen dan inisiatif penting negeri, antaranya Buku Indeks Sosio Taqwa Negeri Kelantan, Dokumen Rujukan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan, Modul Budaya Komuniti Rabbani, Dasar Qawwamah Lelaki Kelantan dan Modul Smart Itqan, serta beberapa laporan penyelidikan Katanya ketika berucap dalam Sesi Amanat dan Ta’aruf Kelantan Virtual Unity yang diadakan secara atas talian, semalam.

[Sesi Amanat dan Ta’aruf Kelantan Virtual Unity diadakan pada 14 Januari 2026 secara atas talian]
Sementara itu, Pengerusi KVU, Prof. Madya Dr. Zarawi Mat Nor memaklumkan bahawa keanggotaan KVU kini melibatkan seramai 45 ahli, terdiri daripada 34 orang yang menetap di Kelantan dan 11 orang yang berulang-alik dari luar negeri, dengan majoriti ahli memiliki kelayakan akademik di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Tambah beliau, peringkat awal pelaksanaan KVU akan mengambil beberapa inisiatif seperti Akademi Pendidikan Rabbabi (APRAB), KVU Business Matching, KVU Federalism Advocation, WINS Pendidikan, Makmal Strategik Sarjana Darul Naim (MASDAR), Jaringan Pendidikan Sejahtera (JPS), KVU-EXCO dan Majlis Pemikir.
Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Dr. Azizi Umar, turut memaklumkan bahawa ILDAN sebagai sekretariat rasmi KVU telah berjaya menganjurkan beberapa program utama termasuk Executive Talk Session, ‘Federalism Advocation and Discussion’ dan ‘Business Matching Discussion’ yang masing-masing diadakan pada 21 Oktober 2025, 24 Disember 2025 dan 29 Disember 2025, selain bekerjasama dengan Pusat Kajian Strategik (PKS), Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

[Executive Talk Session yang diadakan pada 21 Oktober 2025 bertempat di H-Elite Design Hotel]

[Federalism Advocation and Discussion yang diadakan pada 24 Disember 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat ILDAN]

[Business Matching Discussion yang diadakan pada 29 Disember 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat ILDAN]

[24 Disember 2025 : Sesi Libat Urus bersama Pusat Kajian Strategik (PKS) yang diadakan di Bilik Mesyuarat ILDAN]
Kewujudan Kelantan Virtual Unity diyakini akan menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara komuniti akademik dan Kerajaan Negeri Kelantan, seterusnya memperkukuh nilai kebersamaan dalam membangunkan negeri berpandukan Nilai Teras U.M.I. (‘Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan) serta berteraskan Dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
