INTEGRITI PEMANGKIN AKAUNTABILITI PEGAWAI URUS SETIA NEGERI 

KUALA KRAI, 11 Februari 2026 – Kursus Integriti Urus Setia Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai 48 orang peserta dari Urus Setia Kerajaan Negeri dan Pusat Khidmat DUN daripada pelbagai jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Kursus ini diadakan bertempat di Institut Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK), Bukit Sireh, Kelantan. Program ini dianjurkan sebagai inisiatif memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus beretika dalam perkhidmatan awam negeri.

Kursus yang berlangsung selama 2 hari ini memberi penekanan terhadap pemantapan kefahaman berkaitan prinsip integriti, pematuhan kepada peraturan serta tanggungjawab penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang telus dan berkesan. Perunding latihan jemputan Encik Abdul Halim Sunny yang berpengalaman di INTAN mengingatkan komunikasi bukan sekadar penyampaian maklumat, tetapi proses mewujudkan kefahaman bersama yang menghasilkan tindakan tepat. Integriti organisasi bermula daripada mesej yang jelas, benar dan bertanggungjawab. 

Majlis perasmian penutup dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mejar Dr. Haji Nazmi bin Ghazali Azmi. Dalam ucapannya, beliau menyeru para peserta agar sentiasa meletakkan elemen amanah sebagai teras dalam setiap tugasan, bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 105:

“Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Beliau menegaskan bahawa setiap gerak kerja penjawat awam bukan sahaja dinilai oleh organisasi dan rakyat, malah merupakan suatu bentuk ibadah yang akan dipersoalkan di hadapan pencipta. Penganjuran kursus ini diharapkan dapat melahirkan urus setia yang lebih kompeten, profesional dan berintegriti tinggi selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top