SINERGI STRATEGIK PEMBANGUNAN KOMPETENSI GURU DAN PENDIDIKAN RABBANI

KOTA BHARU, 20 Ramadan 1447H – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) telah mengadakan satu kunjungan hormat kepada barisan pengurusan utama baharu Yayasan Islam Kelantan (YIK), bertempat di Bilik Mesyuarat, Kompleks Pentadbiran YIK. Pertemuan strategik ini bertujuan untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi, di samping menyelaras hala tuju pembangunan modal insan dalam sektor pendidikan di negeri ini.
Sesi pertemuan ini memberikan tumpuan khusus kepada usaha memperkasakan latihan kompetensi dan profesionalisme dalam kalangan guru-guru di bawah seliaan YIK secara berterusan. Melalui kerjasama ini, ILDAN berperanan dalam menyediakan modul latihan yang komprehensif, merangkumi aspek kepimpinan dan pengurusan pendidikan yang selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan, malah memastikan para pendidik sentiasa relevan dengan tuntutan tadbir urus moden demi melahirkan generasi modal insan yang syumul berdasarkan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK).

Antara program dan kursus utama yang berjaya dilaksanakan bersama, ialah: 

  • Pembangunan dan Pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK)
  • Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pengetua/Penolong Kanan/Organisasi Sekolah 
  • Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan
  • Kursus Smart UMI Guru Baharu
  • Kursus Asas Pengajaran / Pedagogi Guru Baharu
  • Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling, UBKK/Tahfiz
  • Pemerkasaan Guru Bahasa Arab melalui Pendekatan i-Baraka (CLIL)
  • Penerbitan Dokumen Rujukan / Senarai Semak Pendidikan Rabbani
  • Penerbitan Modul Sisipan Pengajaran Sains Rabbani bagi Guru Mata Pelajaran Sains
  • Pembangunan Modul Guru Dakwah
  • Pembangunan Modul Pendidikan Rabbani
  • Pembangunan Modul Tahfiz Komprehensif
  • Penerbitan Kajian Jurang Fungsi, Tugas, Tanggungjawab dan Peranan antara Pengurusan, Pengetua, dan Guru Sekolah Menengah
  • Tuisyen Rakyat Sejahtera & e-Tuisyen Rakyat
  • Kongres dan Seminar Pendidikan Peringkat Negeri, Kebangsaan & Antarabangsa

Sehubungan itu, ILDAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak YIK atas kepercayaan dan kerjasama erat yang telah terjalin sejak sekian lama. Hubungan strategik ini telah bermula sejak era Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK) dari tahun 2015, dan terus diperkukuh setelah institusi ini dinaik taraf menjadi ILDAN pada tahun 2020. Momentum kerjasama yang mampan ini mencerminkan komitmen jitu kedua-dua pihak dalam memastikan agenda pembangunan kompetensi penjawat awam negeri sentiasa berada pada tahap yang tertinggi, sekali gus memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Kelantan secara keseluruhannya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top