𝗞𝗢𝗠𝗨𝗡𝗜𝗞𝗔𝗦𝗜 𝗕𝗘𝗥𝗜𝗠𝗣𝗔𝗞, 𝗣𝗘𝗠𝗔𝗖𝗨 𝗞𝗘𝗖𝗘𝗠𝗘𝗥𝗟𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗢𝗥𝗚𝗔𝗡𝗜𝗦𝗔𝗦𝗜

KOTA BHARU, 14 Ogos 2025 – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah menganjurkan Kursus Komunikasi Organisasi Berimpak di Bilik Latihan PMBK, Tingkat 5, Kota Bharu. Kursus sehari yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang itu melibatkan seramai 31 peserta daripada pelbagai agensi di bawah PMBK.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi berkesan, memupuk keyakinan diri, mengukuhkan strategi komunikasi berimpak tinggi serta membentuk budaya komunikasi profesional selaras dengan visi dan misi organisasi.
Kursus ini merangkumi dua sesi utama yang akan disampaikan oleh penceramah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), iaitu YBrs. Dr. Azman bin Bidin yang membincangkan berkaitan Kemahiran Mendengar Berkesan dan YBrs. Dr. Hasnah binti Ab Kadir yang menekankan aspek Pengurusan Konflik dalam organisasi.
Menurut Dr. Azman bin Bidin, kemahiran mendengar merupakan asas penting dalam komunikasi sama ada dalam kehidupan seharian mahupun di tempat kerja. Beliau turut melaksanakan aktiviti lakonan pendek secara berkumpulan yang memberi peluang kepada peserta untuk mempraktikkan kemahiran mendengar dan berinteraksi secara berkesan.
Sementara itu, Dr. Hasnah turut berkongsi pelbagai strategi menangani konflik, termasuk kaedah MESRA bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni. Beliau turut melaksanakan aktiviti praktikal dengan meminta peserta menghasilkan peta minda berkaitan konflik yang dihadapi sebelum membentangkannya di hadapan rakan peserta lain.
ILDAN yakin melalui kursus ini dapat meningkatkan keupayaan komunikasi para peserta, sekali gus menyumbang kepada pengurusan organisasi yang lebih cemerlang, profesional dan berdaya saing.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top