KOTA BHARU, 4 Februari 2026 – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) telah melaksanakan Kursus Emosi Positif Pekerja Produktif kepada penjawat awam Agensi Kerajaan Negeri Kelantan bertempat di Institut Latihan FAMA Kota Bharu (ILFKB). Program ini bertujuan memberi kefahaman menyeluruh mengenai konsep emosi serta hubungannya dengan produktiviti kerja, di samping meningkatkan keupayaan peserta dalam memupuk dan mengamalkan kecerdasan emosi di persekitaran kerja agar lebih profesional, berdaya tahan dan berprestasi tinggi.

Kursus ini turut membekalkan peserta dengan kemahiran pengurusan stres secara berkesan bagi melahirkan pekerja yang lebih sejahtera dari segi emosi, bermotivasi dan produktif. Penceramah merupakan Pegawai Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang terlibat ialah Prof. Madya (Kehormat) Dr. Mohd Zarawi Mat Nor yang membentangkan topik emosi dan produktiviti, Puan Wan Nor Azlen Binti Wan Mohamad mengenai pemupukan kecerdasan emosi di tempat kerja serta Encik Nor Zulhairie Bin Othman yang mengupas strategi pengurusan stres secara sistematik dan praktikal.

