KOTA BHARU, 18 Mac – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dengan kerjasama pasukan pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan sesi pembentangan modul latihan literasi undang-undang khusus untuk Ahli Majlis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri Kelantan. Sesi pembentangan ini dipengerusikan oleh YB Hilmi Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar di Kompleks Kota Darulnaim, pada rabu.

Inisiatif ini diselaraskan oleh ILDAN dan diketuai oleh YBrs. Dr. Nurhafilah Musa, Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang (Akademik) UKM, yang mengetuai pasukan pakar dalam membangunkan kandungan modul. Turut hadir ialah Pengarah ILDAN, YBrs. Dr. Azizi Umar, serta YBhg. Prof. Madya (Kehormat) Dr. Mohd Zarawi Mat Nor, Pengerusi Kelantan Virtual Unity (KVU), yang mewakili kumpulan pakar akademik yang terlibat dalam projek ini.
Idea awal pembangunan modul ini timbul daripada kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh Ahli Majlis dan PBT akibat kekurangan latihan formal dalam bidang undang-undang. Ini sering menyebabkan kesukaran dalam mentafsir dan mengaplikasikan undang-undang dan peraturan tempatan dalam tugas harian mereka. Kesedaran ini mencetuskan kerjasama antara ILDAN dan UKM untuk membangunkan kurikulum khusus yang dapat memenuhi keperluan unik mereka.
Dalam pembentangan tersebut, YBrs. Dr. Nurhafilah Musa menjelaskan bahawa modul ini direka khas untuk meningkatkan pengetahuan undang-undang asas yang relevan dengan tugas harian Ahli Majlis dan PBT. “Modul ini mengandungi modul-modul interaktif yang merangkumi aspek perundangan tempatan, prosedur pentadbiran, serta hak dan tanggungjawab Ahli Majlis dalam konteks perundangan Malaysia. Kami percaya pemahaman yang jelas tentang aspek-aspek ini akan membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan berkeyakinan,” ujarnya.

Sementara itu, YBrs. Dr. Azizi Umar menegaskan bahawa kerjasama antara ILDAN dan pakar akademik dari UKM menunjukkan komitmen universiti dalam menyumbang kepada pembangunan kompetensi penjawat awam kerajaan negeri. “ILDAN sentiasa berusaha menjembatani jurang antara teori undang-undang dan praktiknya di lapangan. Projek ini adalah contoh terbaik bagaimana kepakaran akademik boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan tadbir urus di peringkat akar umbi. Modul latihan ini dicadangkan supaya menjadi kursus mandatori untuk setiap ahli majlis atau wakil rakyat sebagai kursus induksi awal. Sekiranya berjaya, ia berpotensi untuk menjadi sijil profesional pertama yang bakal dibangunkan. Ini akan memastikan mereka mempunyai asas pengetahuan undang-undang yang kukuh sebelum menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.
YBhg. Prof. Madya (Kehormat) Dr. Mohd Zarawi Mat Nor pula berkata, kerjasama ini adalah langkah penting dalam memperkasakan pemimpin tempatan dengan pengetahuan undang-undang yang diperlukan. “Apabila Ahli Majlis dan PBT mempunyai literasi undang-undang yang baik, mereka dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan adil, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan secara keseluruhan,” tambah beliau.
Akhirnya, pemerkasaan literasi undang-undang dalam kalangan Ahli Majlis dan PBT adalah amat penting untuk memastikan tadbir urus yang cekap dan telus. Dengan pengetahuan undang-undang yang mencukupi, mereka dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan, mengelakkan isu-isu perundangan yang mungkin timbul, dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat. Inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pentadbiran tempatan tetapi juga mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat, yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri Kelantan yang lebih mampan dan inklusif.

