Loading Events

« All Events

  • This event has passed.

PROGRAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN KOMUNITI UMT

November 8, 2025

ILDAN, UMT PERKUKUH PEMBANGUNAN KOMUNITI MELALUI PROGRAM KEJURULATIHAN KHAS

KUALA NERUS, 8 November 2025 – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program Pengurusan dan Kepimpinan Komuniti bagi memperkasa jurulatih negeri dalam bidang kepimpinan komuniti berteraskan nilai Rabbani.

Program anjuran bersama Pusat UMT Life ini disertai seramai 35 jurulatih ILDAN, berlangsung selama satu setengah hari di kampus UMT serta di beberapa tapak projek komuniti berimpak tinggi di sekitar Kuala Nerus, Terengganu.

Menurut kenyataan bersama ILDAN dan UMT, penganjuran ini bertujuan meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kecekapan jurulatih dalam pengurusan serta kepimpinan komuniti, di samping memperluas pelaksanaan agenda Budaya Komuniti Rabbani (K-RABB) yang menjadi teras pembangunan masyarakat negeri Kelantan.

Program berkenaan menampilkan pendekatan holistik yang merangkumi teori, latihan berpandu dan lawatan lapangan ke dua projek komuniti model – iaitu Projek Akuaponik Masjid Mengabang Telung dan Projek Inovasi Akuaponik serta Tanaman Cili Fertigasi di KRT Kampung Telaga Batin. Peserta turut didedahkan kepada elemen amali, perancangan program berasaskan templat, serta pembentangan kumpulan yang menilai keberkesanan strategi komuniti.

Jurulatih yang terlibat berpeluang menerima pensijilan Mikro Kredensial UMT, sebagai pengiktirafan terhadap penguasaan teori dan kemahiran praktikal yang diperoleh sepanjang program.

Pihak ILDAN dalam kenyataan menyatakan bahawa pelaksanaan program ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan insan dan memperkasa pemimpin komuniti Rabbani di Kelantan, manakala UMT pula melihat kerjasama ini sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperluas pemindahan ilmu kepada masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat.

Program ini diharap menjadi pemangkin kepada hubungan strategik antara kedua-dua institusi ke arah melahirkan jurulatih komuniti yang berdaya saing, berintegriti serta mampu memimpin masyarakat secara holistik berasaskan nilai-nilai Islam.

Details

  • Date: November 8, 2025

Organizer

  • ILDAN