Β 

π—žπ—˜π— π—”π—›π—œπ—₯𝗔𝗑 π— π—˜π— π—•π—¨π—”π—§ π—žπ—˜π—£π—¨π—§π—¨π—¦π—”π—‘ 𝗣𝗔𝗖𝗨 π—žπ—˜π—–π—˜π—žπ—”π—£π—”π—‘ 𝗒π—₯π—šπ—”π—‘π—œπ—¦π—”π—¦π—œ

KOTA BHARU, 21 Julai 2025 – Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah menganjurkan Kursus Kompetensi Membuat Keputusan melibatkan penjawat awam negeri pada 20 dan 21 Julai 2025 bertempat di Institut Latihan FAMA Kota Bharu (ILFKB).
Kursus dua hari ini dikendalikan oleh YBrs. Encik Abdul Halim bin Sunny, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam sesi pembentangan beliau, peserta diberi pendedahan kepada pelbagai kaedah penyelesaian masalah dan membuat keputusan berasaskan pendekatan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif.
Antara teknik utama yang dikongsikan termasuklah Brainstorming, PESTEL, Diagram Ishikawa serta kaedah SCAMPER, yang kemudiannya diaplikasikan oleh peserta dalam menyelesaikan isu organisasi berdasarkan persekitaran kerja sebenar mereka.
Dalam sesi bengkel berkumpulan, salah seorang peserta, Encik Faiz Azmil dari Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai menyatakan, β€œIsu sikap peribadi dalam organisasi sememangnya wujud seperti ponteng kerja, kelewatan hadir, kurang bertanggungjawab serta masalah disiplin.”
Penguasaan teknik-teknik penyelesaian masalah yang diperoleh sepanjang kursus ini diyakini mampu memperkukuh keupayaan peserta dalam membuat keputusan secara strategik, sejajar dengan matlamat utama kursus iaitu untuk memperkasa kebolehan peserta dalam membuat keputusan secara beretika, rasional dan berdasarkan analisis situasi sebenar.
Menurut YBrs. Tuan Borhanuddin bin Haji Ahmad, Pemangku Pengarah ILDAN β€œKemahiran membuat keputusan bukan sahaja penting dalam urusan organisasi, malah ia berlaku dalam kehidupan seharian dan memerlukan asas yang kukuh agar keputusan yang diambil memberi manfaat menyeluruh.”
Kursus ini diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada 15 peserta dan cenderamata kepada penceramah, disempurnakan oleh YBrs. Tuan Borhanuddin bin Haji Ahmad sebagai tanda penghargaan atas sumbangan ilmu dan kepakaran.
ILDAN yakin penganjuran program seperti ini dapat membangunkan budaya kerja berwibawa, sekaligus menyumbang kepada pembentukan organisasi perkhidmatan awam yang cemerlang dan berintegriti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top